-------------------------------------------------------------------




Tuesday, December 22, 2009

KHALEEDAH , ZULAIKHA , QAISARAH dan CEMBURU

"Cekak ni Akak punya bukan Zulaikha punyalah. Letak balik" keluh Khaleedah anak saya yang besar.

"Jangan busik, ini Zulaikha punye...Qaisarah pegi la jauh," Zulaikha menolak Qaisarah pulak.

Begitulah kerenah anak-anak saya, setiap hari.Ada sahaja yang nak direbut.

Anak saya Nor Khaleedah cun ni tahun depan akan menduduki UPSR. Zulaikha tahun 2010 ni nak masuk 3 tahun dan Qaisarah pula 1 tahun 2 bulan sekarang. Jarak antara Khaleedah dengan Zulaikha memang jauh semasa Khaleedah darjah 4 barulah Zulaikha dilahirkan.

Sebelum ni Khaleedah tempat saya bersembang dan bermanja tapi bila Zulaikha lahir keadaan berubah. Semasa mula-mula Zulaikha dilahirkan Kaleedah menjadi sangat cemburu dengan adikny. Saya sangka dia akan seronok mendapat adik rupanya tidak.

Saat ini merupakan saat yang paling mengecewakan sebab komunikasi saya dengan Khaleedah sangat teruk. Khaleedah mengganggap kehadiran orang baru merupakan cabaran kepadanya. Dia akan menangis , merajuk dan mula tidak dengar cakap. Ini semua angkara rasa CEMBURU.

Kehadiran Qaisarah pula merubah segalanya kerana Khaleedah sangat sayang akan Qaisarah tetapi terbalik pulak dengan Zulaikha. Cemburu Zulaikha terhadap Qaisarah sungguh kuat sekali hinggakan baju yang saya belikan untuk Qaisarah semua dipakai oleh Zulaikha.

Setiap anak dilahirkan dengan sifat dan sikap yang berbeza. Maka layanlah anak kita megikut sifat masing-masing. Sehingga artikel ni saya tulis Khaleedah masih lagi cemburu ditambah lagi dengan proses dia meningkat remaja tapi banyak dah improved.

Walauapapun ... KHALEEDAH, ZULAIKHA , QAISARAH dan CEMBURU tidak dapat dipisahkan.


p/s untuk anak mama semua....kalian merupakan buah hati pengarang jantung mama forever.

Monday, December 14, 2009

Membentuk Peribadi Anak

Mengikut pendapat Islam, anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa pada peringkat usia lima hingga tujuh tahun. Pendidikan yang sesuai didedahkan pada peringkat ini ialah perkara-perkara mengenai ibadah dan akhlak. Contohnya, kanak-kanak yang baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan solat. Kemudiannya, adab-adab yang mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti berikut:

1. Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik.

Anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya, Mereka mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab itu jika ibu bapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa kesat, kasar dan keras.

2. Mengajar anak adab bergaul dengan rakan.

Anak perlu dinasihatkan supaya tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain.

3. Mengajar anak adab makan minum yang baik.

Sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah. Sebaliknya, anak dilatih dulu dengan adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan selepas makan.

4. Mengajar anak adab berpakaian.

Pakaian yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

5. Mengajar adab bangun daripada tidur termasuk membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur serta doanya.

6. Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas.

Anak perlu diajar cara membuang air kecil dan besar serta cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala dan membelakangkan kiblat.

7. Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada ibu bapa.

Timbulkan kesedaran bahawa pengorbanan ibu bapa terhadap mereka amat besar. Mereka perlu bersyukur kerana menjadi anak yang masih mempunyai ibu bapa. Kesedaran ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.

8. Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya.

Guru adalah orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu. Orang yang lebih tua adalah mereka yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan.



Tips Mendisiplinkan Anak-Anak

Perihal mendisplinkan anak-anak merupakan tanggungjawab yang agak berat untuk dilaksanakan dengan sempurna oleh kedua ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika cara yang digunakan tidak kena atau kurang sesuai. Hal ini akan menyebabkan anak cepat memberontak. Tentunya di kemudian hari, mereka lebih sukar untuk dibentuk.

Disiplin terhadap anak-anak perlu dipraktikkan sejak kecil, biarpun ketika masih di dalam kandungan. Hal ini kerana bayi boleh mendengar percakapan serta merasa sentuhan yang secara tidak langsung akan memberikan tindakbalas.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘disiplin’ adalah, ianya merupakan peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik. Namun maksud peraturan yang digunakan di sini, bersifat agak tegas dan ‘mesti’. Bagi kanak-kanak yang melalui proses pembesaran, mereka tidak mahu terlalu terkongkong dengan perkataan ‘jangan’.

Bagi mereka, perkataan seperti itu seolah-olah memberikan lebih banyak tanda tanya dan akan menyemarakkan lagi perasaan rasa ingin tahu mereka. Ibu bapa yang bijak dan mahir menghadapi anak-anak, akan menggunakan perkataan ‘jangan’ yang disertai dengan sebab dan alasan yang kukuh supaya anak-anak lebih mudah memahaminya.

Disiplin merupakan perkara penting dalam membentuk perkembangan fizikal, mental dan emosi yang sihat untuk anak-anak. Pada peringkat satu hingga tujuh tahun, si kecil akan menjadikan ibu bapa, serta kakak dan abangnya sebagai contoh dalam apa jua situasi. Dalam situasi seperti ini, maka mereka yang dewasa perlulah mempamerkan nilai yang baik kepada si kecil. Oleh itu, didiklah mereka dengan penuh kasih sayang dan bukannya dengan kekasaran.

Perkara paling asas yang perlu dilatih dan diberi perhatian kepada anak-anak ialah meminta maaf seandainya melakukan kesalahan, biarpun ia kesalahan kecil. Pada kebiasaannya anak-anak sukar untuk meminta maaf. Ini kerana mereka tidak memahami erti meminta maaf dan kurang diberi penerangan daripada ibu bapa mereka sendiri. Sebagai contoh, ketika mereka merampas permainan milik kanak-kanak lain, yang disangkakan miliknya.

Peranan ibu bapa adalah memberitahunya bahawa permainan itu adalah kepunyaan kanak-kanak lain dan ajarkan kepada mereka supaya memulangkan semula permainan tersebut. Apa yang lebih penting didik mereka untuk meminta maaf. Dengan cara ini mereka memahami bahawa kepunyaan orang lain tidak boleh diambil tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu.

Selain daripada ucapan meminta maaf, ucapan terima kasih juga perlu dipraktikkan oleh anak-anak. Contohnya, latihlah mereka untuk mengucapkan terima kasih apabila dihadiahkan sesuatu barangan. Bukan itu sahaja, anda juga boleh meminta mereka mengucapkan terima kasih sebaik sahaja anda selesai memandikan dan memakaikan mereka baju. Dengan demikian, mulutnya akan ringan untuk mengucapkan terima kasih di atas apa jua perkara. Anak anda akan menjadi anak yang berkeperibadian mulia dan juga disenangi ramai.


Sesungguhnya didikan awal bermula di rumah.

Thursday, December 3, 2009

Jangan Biarkan Anak terlalu Bersih??

*Jangan Biarkan Anak terlalu Bersih*

Apa reaksi umum orangtua jika melihat anaknya bermain pasir atau lumpur
hingga mengotori wajah, tangan, pakaian, atau bahkan seluruh tubuhnya? Panik,
marah, atau cenderung membiarkan saja?

Menurut para peneliti, biarkan saja anak bermain kotor-kotoran. Bahkan,
anak-anak sesekali harus kotor karena jika terlalu bersih, kemampuan kulit
anak untuk menyembuhkan diri sendiri justru terganggu atau malah rusak.

Hasil penelitian tim peneliti School of Medicine di University of
California, AS, seperti diberitakan Nature Medicine, Senin (23/11),
menyebutkan, bakteri bernama Staphylococci yang hidup di kulit membentuk
semacam jaringan yang mencegah peradangan ketika kita terluka.

Bakteri itu juga mengurangi reaksi ketahanan tubuh yang berlebihan. Para
pakar medis mengatakan, temuan tim peneliti itu memberikan penjelasan atas
”hipotesis kesehatan” yang menyebutkan jika tubuh dibiasakan menghadapi
kuman sejak usia dini, maka kemungkinan besar tubuh akan menciptakan
jaringan pelindung dari berbagai macam alergi.

Selama ini ada pandangan bahwa obsesi masyarakat pada kebersihan sebenarnya
mulai muncul ketika alergi merebak di negara-negara berkembang. ”Temuan ini
bisa membantu kita untuk menemukan pendekatan yang baru untuk menangani
penyakit-penyakit kulit yang menular,” kata pemimpin tim peneliti Richard
Gallo.

Juru bicara untuk lembaga Allergy UK mengatakan, semakin banyak bukti yang
menunjukkan bahwa tubuh sebenarnya akan menjadi lebih kebal jika kerap
terekspos dengan kuman.

Wednesday, December 2, 2009

Bagaimana saya akan tahu jika bayi saya mendapat susu yang cukup?

Dalam beberapa minggu pertama, anda mungkin tertanya-tanya jika bayi anda mendapat susu yang secukupnya, terutamanya jika dia mahu menyusu setiap masa atau ternampak tidak puas selepas menyusu. Apabila telah lepas satu atau dua hari pertama, bayi anda akan selalu berasa lapar. Dan kemungkinannya memang dia lapar, sebab susu badan selesai dicernakan dalam dua jam selepas dia menyusu.

Kebanyakan bayi baru lahir mahu menyusu lapan hingga 15 kali sehari pada tiga atau empat hari pertama kehidupannya. Ramai bayi yang masih menyusu 10-12 kali sehari selepas minggu pertama. Bayi akan terus menyusu begini sehingga satu minggu lagi sebelum mengurangkan penyusuan ke lapan hingga 10 kali sehari. Susukan bayi anda sekerap yang dia kehendaki. Anda dapati bahawa anda tidak boleh lagi melakukan kerja harian biasa dalam beberapa minggu pertama semasa menyempurnakan rutin menyusukan bayi.

Malangnya, menimbang berat badan bayi pada beberapa hari pertama tidak akan menyakinkan anda, sebab berat badan bayi baru lahir selalunya turun lima hingga 10 peratus daripada berat lahir mereka dalam minggu pertama atau seterusnya. Walau bagaimanapun, bayi anda sepatutnya menambah berat badan selepas itu, dan jika anda menimbangnya semula pada hari ke-10 hingga ke-14, anda akan mendapati berat badan bayi anda sudah pulih kepada berat lahirnya.

Terdapat beberapa cara untuk mengukur jika bayi anda menyusu secukupnya, dan terdapat juga tanda-tanda yang dia tidak menyusu secukupnya. Penyahidratan dalam bayi baru lahir jarang berlaku tetapi anda perlu mengetahui tanda-tanda bayi menyusu dengan sempurna supaya anda boleh menghubungi doktor anda jika terdapat sebarang keadaan yang tidak menyenangkan. Ini termasuklah:

• Bayi anda menyusu lapan hingga 10 kali sehari pada dua atau tiga minggu pertama.

• Buah dada anda sudah melepaskan susu sepenuhnya dan berasa lebih lembut selepas penyusuan.

• Kulit bayi anda berasa tegang – ia akan memantul semula apabila dicubit.

• Sepatutnya terdapat sekurang-kurangnya enam kali tukaran lampin basah dalam masa 24 jam. (Lebih mudah untuk mengetahui lampin biasa yang basah daripada lampin pakai buang yang basah.) Urin bayi anda akan berwarna jernih dan tidak berbau.

• Kelihatan bayi menelan semasa penyusuan.

• Najis bayi anda berwarna kuning gelap atau sering gelap, atau najis semakin berwarna cerah pada hari kelima selepas kelahiran.
Apakah tanda-tanda amaran bahawa bayi saya tidak mendapat susu secukupnya?
Tanda-tanda bahawa bayi anda tidak mendapat susu secukupnya selalunya termasuk perkara yang berikut:

• Bayi anda tidak mendapat balik berat lahirnya atau menambahkan berat badan selepas dua minggu.

• Payu dara anda tidak berasa lebih lembut selepas penyusuan.

• Bayi anda meragam atau sering letih.

• Pipi bayi anda lekung atau membuat bunyi berdecit semasa menyusu. (Ini adalah tanda yang bayi anda tidak menghisap dengan betul dan anda perlu mendapatkan nasihat pakar perunding penyusuan untuk memastikan anda menggunakan teknik yang betul.)

• Selepas hari kelima kelahiran, anda tidak menyalin lampin bayi anda sebanyak enam hingga lapan kali dalam masa 24 jam.

• Bayi anda tidak membuang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari atau najisnya masih berwarna gelap lima hari atau lebih selepas kelahiran.

• Bayi anda semakin berwarna kekuningan, bukannya semakin kurang, selepas minggu pertama.

• Muka bayi anda tidak berisi dalam masa tiga minggu.

• Kulit bayi anda tetap berkerut selepas minggu pertama.

Jika anda risau mengenai sebarang tanda-tanda berikut, hubungi doktor atau ahli pediatrik keluarga anda.

Anda akan tahu yang anda menyusukan bayi dengan secukupnya apabila:

• bayi anda melekap pada buah dada anda dengan baik dan menyusu apabila terasa lapar;

• penyusuan adalah selesa dan tidak menyakitkan;

• dan, bayi anda akan menukar ritmanya semasa menghisap dan berhenti seketika semasa penyusuan, mula menyusu tanpa berhenti dan melepaskan hisapan secara spontan apabila sudah kenyang.

Jika bayi anda menunjukkan tanda-tanda berikut, anda menyusukannya dengan secukupnya. Salah satu perkara yang paling sukar semasa memulakan penyusuan ialah merasa yakin bahawa anda menyusukan bayi anda secukupnya. Memang anda menyusu dengan betul, tetapi jangan teragak-agak untuk mendapat nasihat dan bantuan daripada ahli pediatrik, doktor keluarga atau perunding penyusuan semasa peringkat awal penyusuan.

Bagaimana menyediakan makanan bayi secara selamat

Apabila bayi anda mula mengambil makanan pejal, anda perlu berhati-hati tentang kebersihan. Sistem imunisasi bayi masih belum sempurna, tidak seperti orang dewasa dan perut mereka mudah diserang kuman dan jangkitan. Tip-tip ini akan membantu.

• Basuh tangan anda dengan bersih sebelum anda menyediakan sebarang hidangan untuk bayi anda.

• Kementerian Kesihatan menyarankan supaya memulakan makanan pejal semasa kira-kira enam bulan. Jika anda memilih untuk bercerai susu sebelum itu, pastikan sudu disterilkan sehingga bayi anda berusia enam bulan dan gunakan mesin pencuci pinggan atau air yang sangat panas untuk mencuci mangkuk dan lain alat makanan bayi. Gunakan kain pengelap yang bersih atau tuala kertas untuk mengeringkannya.

• Makanan bayi yang disediakan untuk kegunaan pada lain masa perlu disejukkan dengan cepat dan kemudian disimpan di dalam peti ais. Makanan yang tidak akan dihidang hari itu atau diberikan dalam masa 24 jam, perlu dibekukan.

• Jika memanaskan semula makanan bayi, pastikan keseluruhan hidangan betul-betul hangat (wap kelihatan) dan biarkan ia sejuk sebelum memberikannya kepada bayi anda. Ujilah hidangan itu dengan meletak secubit pada pergelangan tangan anda untuk memastikan suhunya sesuai untuk dimakan.

• Jangan perangat makanan bayi lebih daripada satu kali.

• Ketuhar gelombang mikro boleh digunakan untuk memanaskan makanan bayi tetapi cuba berhati-hati. Kacaulah makanan itu dengan baik supaya tiada kelompok-kelompok yang terlalu panas dan biarkan makanan sejuk ke suhu yang selamat sebelum memberikannya kepada bayi anda.

• Jika makanan tidak habis dimakan oleh bayi, buangkan saja sisa itu. Makanan yang telah terkena air liur (dari mulut bayi anda atau sudu makan) akan mengandungi bakteria yang cepat membiak jika makanan tidak dibuang.

• Periksa bilakah tarikh bagi "baik sebelum" dan "gunakan sebelum" pada makanan dalam tin/botol yang hendak diberikan kepada bayi anda. Jika anda mahu memberikan bayi makanan yang bukan disedia secara segar, atau jika anda mahu menyimpan makanan bayi yang berlebihan (yang tidak pernah dipanaskan semula atau bersentuhan dengan mulut bayi anda) anda boleh menyimpannya dalam peti ais selama 24 jam selepas dibuka. Buangkan semua makanan lama yang sudah dipanaskan sekali atau yang telah diusik, iaitu, diberikan kepada bayi dalam bekasnya.

• Cuci kerusi tinggi budak, alas dada serta ruang-ruang makanan bayi dengan air panas bersabun atau lapkan dengan pencuci antibakteria. Pastikan dapur anda bersih, terutamanya lantai, yang bayi suka pergi merangkak!

• Jika bayi anda makan makanan jejari atau makan menggunakan tangan, jangan lupa mencuci tangannya sebelum dia makan.

• Periksa suhu peti ais anda; ia mesti cukup dingin antara 0 darjah C dan 5 darjah C (32 - 41 darjah F). Belilah termometer peti ais jika itu tidak dibekalkan.

• Tukar tuala dapur dan kain pengelap dengan kerap.

• Masak telur sehingga kuning telur dan putih telur cukup keras, dan masaklah daging sehingga tiada kelihatan kesan darah di bahagian tengahnya.

• Jika makanan dibekukan, nyahbekukannya dengan sempurna sebelum dimasak, kecuali jika arahan di paket menyatakan sebaliknya.

Monday, October 5, 2009

Tingkatkan Kreativiti Anak Melalui Lukisan dan Kraf

MELIHAT seorang kanak-kanak melukis beberapa bulatan sama, saya bertanya kepada si kecil, apakah makna lukisannya. Jawapannya: “Bulatan pertama ini kuda, yang tengah ni harimau dan yang hujung pula gajah. Semua binatang ni ada dalam zoo.”

Si kecil kemudian bercerita apa yang dilakukan haiwan dalam lukisannya. Tertarik mendengar ceritanya, saya cuba mencelah dengan tujuan mahu menjadikan cerita lebih menarik sambil merujuk bulatan kedua sebagai kuda (kerana semua bulatannya sama). “Bukanlah, yang tengah ni harimau,” tegur si kecil membetulkan kesilapan itu.

Saya terpegun kerana dengan hanya melukis bulatan, si kecil boleh ‘mencipta’ permainan atau aktiviti mindanya sendiri. Lebih mengagumkan, setiap bulatan ada watak tersendiri yang menjadi satu cerita dalam mindanya, sedangkan semua bulatan sama besar dan tiada tanda membezakannya.

Menurut ibu bapanya, mereka menggalakkan anak melukis kerana ia antara cara terbaik untuk memupuk kreativiti kanak-kanak. Bagaimanapun, bukan semua orang mempunyai pendapat sama seperti ibu bapa si pelukis kecil kerana ada yang merungut melihat anak lebih suka melukis dan cepat hilang minat apabila diajar mengenal huruf dan angka.

Kebanyakannya bimbang anak mereka akan ketinggalan berbanding rakan sebaya yang mungkin sudah boleh mengira atau menghafal beberapa abjad. Malah, ada ibu bapa menganggap minat anak untuk melukis sebagai kurang berguna atau tidak bermanfaat.

Pun begitu, kebanyakan ibu bapa tetap membeli buku, pensil dan alat mewarna dengan tujuan memberi aktiviti kepada si kecil, sekali gus mengelak mereka meragam atau mengacau kerja sekolah anak lebih tua.

Lumrah kanak-kanak suka melukis. Bermula daripada conteng-conteng, kepada garis senget, bulatan, orang lidi sehingga mereka pandai melakar bentuk tertentu; semuanya dilakukan dengan tekun dan sepenuh hati.

Melukis bukan kerja sia-sia walaupun lukisan anak anda tampak seperti cakar ayam. Justeru, usah halang minat ini kerana ia banyak manfaat dan memberi sumbangan besar terhadap perkembangan minda, intelek dan merangsang kemahiran tangan kanak-kanak.

Melukis boleh merangsang pembentukan minda kreatif kanak-kanak selain ‘menggerakkan’ otak kanan untuk berfikir. Kebanyakan aktiviti seperti percakapan, analisis (mentafsir), rasional, logikal, belajar bahasa dan mengira (termasuk mengenal abjad dan huruf) menggunakan otak kiri. Manakala otak kanan pula digunakan dalam aktiviti kreatif yang tidak membabitkan perkataan seperti lukisan, kraf dan muzik.

Penggunaan otak kiri dan kanan perlu seimbang. Malangnya, kebanyakan kita lebih banyak menggunakan otak kiri dan membiarkan sel otak kanan ‘menjadi tua’ dengan sia-sia. Mungkin ini sebabnya ramai antara kita cepat mengalah apabila berdepan halangan, sedangkan ia boleh diatasi jika kita boleh berfikir secara kreatif.

“Cuba perhati anak anda melukis. Mereka memberi sepenuh perhatian dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Ini adalah cara melatih anak memberi tumpuan terhadap sesuatu pekerjaan yang dilakukan.

“Malah, bagi kanak-kanak lebih kecil pun, memegang pensil atau pensil warna adalah proses pembelajaran. Ia membantu perkembangan otot tangan dan kawalan motor iaitu kemahiran yang membolehkan seseorang kanak-kanak melakukan perkara seperti menulis dan memegang objek kecil.

“Mungkin tidak ramai ibu bapa sedar, melukis adalah aktiviti menggembirakan dan boleh menenangkan perasaan anak. Keinginan ibu bapa melihat anak mereka pandai dalam bidang akademik (termasuk membaca dan mengira) pada usia sangat muda boleh membuat anak tertekan.

“Keadaan menjadi lebih payah kerana kanak-kanak tidak tahu untuk memberitahu mereka berasa tertekan. Jadi usah halang anak melukis, ia menggembirakan mereka,” katanya.

Antara kemahiran yang dipertingkatkan melalui lukisan dan kraf ialah:

# Logik

# Kreativiti

# Keyakinan diri

# Kepekaan sosial (boleh bersosial dan berinteraksi dengan orang lain)

# Perkembangan kemahiran tangan

# Pandai meluahkan emosi

# Koordinasi tangan dan mata

# Membentuk personaliti

# Menghargai kecantikan

Kini ramai ibu bapa moden, terutama yang tinggal di bandar, mula menghantar anak ke kelas seni dan kraf selepas menyedari manfaatnya, terutama dalam membantu perkembangan minda serta terbukti dapat meningkatkan daya tumpuan ketika belajar.

Melukis juga cara anak meluahkan pemikiran dan perasaan. Oleh kerana penguasaan bahasa terhad, kebanyakan kanak-kanak tidak tahu menceritakan apa yang ada dalam fikiran mereka.

Ibu bapa boleh menjadikan lukisan anak sebagai perantara untuk berkomunikasi dengan si kecil. Beri rangsangan kepada anak dengan memuji lukisan mereka cantik, walaupun pada pandangan anda ia hanya corengan.

Usah buat tafsiran sendiri kerana anda tidak tahu apa yang ada dalam fikiran anak, sebaliknya minta mereka cerita mengenai lukisannya. Tanpa sedar, anda sebenarnya menggalakkan anak untuk berfikir — bermula daripada melukis hinggalah kepada bercerita.

Sesetengah kanak-kanak sukar diajak berkomunikasi, terutama jika mereka pendiam. Komunikasi perlu berlaku dalam dua hala dan dalam situasi begini, lukisan boleh menjadi medium untuk berinteraksi dengan anak.

Komen positif terhadap hasil kerja anak akan membuatkan mereka gembira. Biasanya dalam keadaan gembira kanak-kanak lebih mudah berinteraksi dan bercerita. Dalam keadaan membabitkan kanak-kanak kecil, mereka mungkin tidak faham apa yang anda puji, tetapi nada suara dan senyuman anda membuatkan mereka tahu mereka melakukan sesuatu yang baik dan disukai.

Lebih banyak anda terbabit dalam aktiviti ini, anak berasa lebih seronok. Malah, ibu bapa boleh melukis bersama dengan anak yang secara tidak langsung bukan saja dapat mengeratkan hubungan, tetapi menghabiskan masa berkualiti bersama si kecil.

Mungkin ada ibu bapa tidak tahu bagaimana hendak memberi rangsangan tambahan kepada anak selain membeli alat melukis dan meluangkan masa bersama mereka. Banyak boleh dilakukan seperti menyediakan tempat atau bilik khas untuk menggantungkan lukisan anak.

Jika rumah sempit, anda boleh membuat ‘ampaian khas’ untuk menggantungkan lukisan anak dengan hanya menggunakan tali dan penyepit. Ini memudahkan anda menukar apabila si kecil menghasilkan karya baru. Kaedah mudah begini memberi galakan kepada anak meluahkan kreativitinya di atas kertas dan bukan di dinding!

Lukisan juga boleh menjadi medium untuk seseorang meluahkan perasaan. Kanak-kanak lebih besar seperti prasekolah pandai menyatakan emosi atau apa terjadi kepada mereka melalui lukisan wajah sedih, marah, gembira atau takut. Mereka juga melukis apa yang ingin dimiliki atau dilakukan.

Ini juga sebabnya lukisan dijadikan terapi (dikenali sebagai terapi seni) ke atas kanak-kanak yang alami masalah psikiatri atau melalui trauma. Terapi seni digunakan untuk membantu kanak-kanak yang mengalami trauma dengan kematian ibu bapa dan hilang tempat tinggal seperti insiden taufan, gempa bumi atau peperangan.

Namun, terapi seni bukan hanya untuk kanak-kanak bermasalah saja. Seni sama ada lukisan, kraf, kolaj atau yang menggunakan tanah liat juga mempunyai kesan terapeutik kepada semua golongan.

Pertandingan lukisan

Jika diperhatikan di negara kita dalam apa juga acara yang membabitkan keluarga, pasti ada acara pertandingan mewarna atau melukis. Biasanya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak kecil dan bagi kanak-kanak lebih besar diadakan pertandingan melukis.

Antara agenda penganjur ialah memberi aktiviti kepada kanak-kanak tanpa menyedari ia acara yang sangat berguna. Ia bukan saja memberi peluang kanak-kanak melahirkan kreativiti, tetapi merangsang kemahiran menyelesaikan sesuatu tugas dalam masa ditetapkan.

Kanak-kanak berumur lapan tahun ke atas layak memasuki pertandingan melukis kerana pada peringkat umur ini mereka ada ilham dan pandangan sendiri terhadap sesuatu perkara sesuai dengan tema pertandingan.

Mereka akan mempunyai pengetahuan lebih luas jika ibu bapa sentiasa meluangkan masa bercerita mengenai isu semasa, sama ada di dalam atau di luar negara, khususnya membabitkan kanak-kanak. Yang membezakan ialah kreativiti, kemahiran mengadun warna dan kesungguhan melakukannya.

“Pertandingan boleh menjadi saluran menguji kanak-kanak daripada segi moral, kesabaran, kepekaan terhadap sekeliling, kreativiti dan kemampuan bertolak ansur. Ini kerana dalam pertandingan, mereka dalam situasi mencabar untuk menghasilkan kerja yang lebih baik daripada orang lain.

“Mereka juga perlu belajar bertolak ansur dan menerima kekalahan. Bagi kanak-kanak, ia bukan mudah kerana jika di rumah, mereka tetap dapat ganjaran walaupun kerja dihasilkan kurang baik. Namun dalam pertandingan, mereka perlu belajar terima hakikat ada orang yang lebih baik.

Selain perlu memberi lebih tumpuan dan membuat persediaan, pertandingan lukisan menuntut kanak-kanak belajar melakukan tugas dengan teratur, cepat dan paling penting berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat hasil baik.

“Ini antara persediaan awal untuk kanak-kanak menghadapi masa depan. Kanak-kanak sekarang manja kerana mempunyai ibu bapa yang boleh memenuhi hampir semua permintaan mereka. Semua ibu bapa mahu memberi kehidupan baik kepada anak dengan cara itu, tetapi tindakan ini ada kekurangannya.

“Anak secara tidak langsung belajar bahawa jika mahukan sesuatu, mereka hanya perlu minta daripada ibu bapa tanpa perlu berusaha. Anak perlu diajar berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan sesuatu yang istimewa jika mahukan sesuatu. Ini adalah hakikat kehidupan sebenar yang perlu dipupuk dari kecil.

Sama seperti dalam pertandingan lukisan, kalau mahu menang, mereka perlu bekerja keras menghasilkan karya unik dan baik. Andai kalah, bermakna mereka belum cukup baik dan perlu berusaha lagi. Bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Bahkan beberapa ibu yang ditemui dalam satu pertandingan juga mengakui melihat perubahan besar pada anak, terutama keyakinan mereka selepas beberapa kali menyertai pertandingan lukisan. Kebanyakannya menjadi lebih yakin, berani dan boleh berbual dengan rakan yang baru pertama kali ditemui dalam satu-satu pertandingan.

Mereka juga boleh menerima setiap keputusan dengan hati terbuka dan menjadikan kekalahan sebagai cabaran untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh bagi pertandingan akan datang. Walaupun ramai tidak dapat hadiah, mereka tidak pulang dengan tangan kosong. Masing-masing membimbit hasil karya yang mempamerkan kesungguhan dan kreativiti mereka.

Monday, April 13, 2009

Didikan Ke arah Anak-Anak Yang Soleh

,

Setiap dari kita mengharapkan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh. Untuk melahirkan anak-anak yang soleh, ia memerlukan dua kunci utama: Pertama: ia harus bermula dari diri kita sendiri sebagai ibu-bapa. Kedua: pendidikannya harus bermula dari kandungan di perut ibu lagi.

Bagaimana ia harus bermula dengan diri kita sendiri sebagai ibu-bapa. Kita harus menunjukkan contoh yang baik untuk menjadi ikutan anak-anak kita. Sebagai contoh, apabila kita menyuruh anak kita agar belajar, kita harus bersama-sama dengan mereka membaca dan tidak menonton televisyen. Jika kita tidak mahu anak lelaki kita merokok, kita juga tidak harus merokok. Jika kita tidak mahu anak perempuan kita memakai pakaian yang membuka aurat, kita juga tidak harus memakai pakaian yang membuka aurat.

Tetapi jika sebaliknya berlaku, jika kita menyuruh anak kita melakukan sesuatu sedangkan kita sendiri tidak melakukannya, atau kita melarang anak kita melakukan sesuatu sedangkan kita sendiri melakukannya, maka ia akan mengurangkan sifat hormat anak-anak kita terhadap diri kita. Tentu sekali kita tidak mahu ditegur sebagai 'cakap tak serupa bikin'.


Kunci kedua bagi melahirkan anak-anak yang soleh adalah dengan pendidikan yang bermula dari kandungan itu sendiri, bahkan dari waktu pertama titisan air mani bertemu dengan telur di rahim. Rasulullah s.a.w mendidik kita agar meminta perlindungan dari Allah apabila kita menggauli isteri kita kerana ketika itu, jika kita tidak meminta perlindungan dari Allah, syaithan akan mendahului kita mencampakkan benihnya dalam rahim isteri kita. Maka tidak hairanlah jika ada di kalangan kanak-kanak yang secara semulajadi kasar tabiatnya. Bukan salah kanak-kanak itu tetapi salah ibu bapanya yang tidak mengikut apa yang diajar oleh Islam.


Ketika isteri kita mengandungkan anak kita, pendidikan anak kita sudah boleh bermula. Janin dalam perut sudah boleh mendengar bunyi-bunyian, walaupun mereka tidak memahaminya. Ini sudah terbukti dari kajian-kajian sains sekarang ini. Akan tetapi, saudara-saudara sekelian, Allah s.w.t telah memberitahu kita umat Islam sejak 1400 tahun dahulu. Kita tidak perlu menunggu kajian sains untuk membuktikannya. Dengarlah firman Allah s.w.t dalam surah As-Sajadah, ayat 23:


Ertinya: Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Perkara pertama yang dianugerahkan kepada manusia adalah pendengarannya. Kemudian barulah datang penglihatan dan akhirnya akal fikiran. Maka apakah bunyian dan suara yang ingin kita perdengarkan kepada anak kita dalam kandungan? Apakah bunyian dan suara yang ingin kita biasakan mereka mendengarkannya dan merasa tenang dengannya? Adakah nyanyian dan muzik? Atau adakah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran? Adakah kita ingin memperdengarkan mereka kata-kata kesat dan kotor? Atau adakah kita ingin memperdengarkan mereka dengan kata-kata lembut dan sopan? Ketahuilah bahawa apa yang biasa didengar oleh janin dalam kandungan akan tercetak di akalnya sehingga dia hanya merasa tenang dan biasa dengan bunyi-bunyian tersebut apabila ia dilahirkan kelak. Maka pilihlah bunyi-bunyian yang boleh menjadikannya anak yang soleh, anak-anak yang baik pertuturannya dan akhlaknya dan senang dengan Al-Quran, bukan yang kasar akhlaknya dan berasa janggal dengan Al-Quran.

Anak-anak adalah seperti kain putih. Sebagai ibu-bapa, kitalah yang mencorakkannya. Kitalah yang menentukan apakah warna dan bentuk yang ingin buat atas kain putih tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci bersih. Maka ibu-bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Majusi.

Sudah tentu kita tidak mahu anak-anak kita menjadi orang-orang Yahudi, Nasrani atau Majusi. Kita mahu anak-anak kita menjadi orang Islam. Kita mahu anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh. Maka ituklah ajaran Islam dalam pendidikan anak-anak kita. Insya Allah kita akan memperolehi anak-anak yang soleh. Sebaliknya, jika kita meniru cara-cara orang Yahudi, Nasrani dan Majusi dalam pendidikan anak-anak kita, maka mereka akan meniru cara-cara yang bertentangan dengan Islam.

Islam telah meletakkan garis pandu bagi umatnya dalam perihal pendidikan anak-anak. Ada dua aspek yang penting dalam Islam: iaitu bantuan dari manusia dan keberkahan dari Allah.

Aspek yang pertama, bantuan dari manusia ini merupakan teknik-teknik yang boleh diterapkan dalam pendidikan anak-anak. Sebagai contoh, apabila kita mengatakan kita adalah orang Islam, dan apabila kita mengatakan bahawa kita mahu anak-anak kita menjadi anak yang soleh, kita harus tanya diri kita sendiri, berapa pentingkah agama Islam itu terhadap diri kita dan anak-anak kita? Apakah keutamaan atau 'priority' yang kita letakkan terhadap pendidikan agama? Atau adakah kita lebih memberi keutamaan terhadap pendidikan yang tiada unsur agama Islam, seperti belajar bermain alat-alat muzik, berdansa dan sebagainya? Adakah anak-anak kita lebih mengetahui tentang jenis-jenis lagu dari rukun-rukun Islam dan Iman? Tidakkah rukun-rukun Islam dan Iman itu adalah asas keislaman seseorang? Apabila pulang nanti, cuba tanya kepada anak-anak kita, apakah itu rukun-rukun Islam dan Iman. Adakah mereka menghafalnya? Adakah mereka mengetahuinya? Bagaimana hendak dinamakan orang-orang Islam jika asas keislamannya dia tidak mengetahuinya?

Ramai kanak-kanak Islam sekarang lebih mahir membaca buku-buku Inggeris dari membaca Al-Quran. Ramai ibu-bapa meletakkan keutamaan atau priority dalam kefasihan anak-anak mereka membaca dan bertutur bahasa Inggeris, kerana menurut mereka bahasa tersebut menentukan kejayaan kanak-kanak tersebut di sekolah, terutama sekali dalam era internet sekarang ini. Ini tidak salah dalam Islam.

Tetapi kita juga mesti memberikan keutamaan dalam memastikan agar anak-anak kita mahir juga membaca Al-Quran, bukan merangkak membaca Al-Quran, atau lebih teruk, buta huruf Al-Quran. Sekiranya bahasa Inggeris dalam membantu kejayaan seseorang di dunia ini, bahasa Al-Quran dengan tidak syak lagi dapat memastikan kejayaan seseorang di akhirat kelak. Orang-orang yang mahir membaca Al-Quran dan beramal apa yang didalamnya akan bersama-sama para malaikat yang terpuji. Dan setiap ayat Al-Quran yang dibaca, walaupun tidak difahami, merupakan satu tingkatan di Syurga. Lebih banyak ayat Al-Quran yang dibaca, lebih tinggi kedudukan seseorang di Syurga. Saya ingin bertanya kepada saudara-saudara sekelian, kehidupan manakan yang lebih abadi dan kekal, kehidupan di dunia inikah atau kehidupan di akhirat?

Sekiranya kita mengatakan bahawa kehidupan akhirat yang kekal, maka janganlah kita abaikan pendidikan anak-anak kita dalam membaca dan mengetahui huruf-huruf Al-Quran. Jangan biarkan anak-anak kita tidak mahir atau tidak tahu tahu langsung tentang tanggungjwab mereka sebagai orang Islam. Jika ini berlaku, kita telah gagal dalam tugas kita sebagai ibu bapa Islam, walaupun anak-anak kita menjadi orang yang paling berjaya di dunia. Jika kita tidak mampu mengajar anak-anak kita membaca Al-Quran, hantarkan lah ia ke kelas-kelas pengajian Al-Quran, kerana Al-Quran akan menjadi benteng anak-anak kita dari terpengaruh dengan aqidah-aqidah agama lain yang menyeleweng.

Guru & Ibubapa: Siapakah Pendidik Sebenarnya?

 
Tatapan Minda Copyright © 2011