Wednesday, June 15, 2011
ASMA DALAM KALANGAN KANAK-KANAK
Oleh: Nor Ardiaty Azleen Salam semua, cuaca kebelakangan ini kadang panas sangat kadang mendung kadang hujan. Sampai saya sendiri tak dapat nak pastikan adakah cuaca yang begini sebetulnya bagus untuk kesihatan. Apa yang nyata cuaca begini banyak mengundang sakit pada anak-anak kita.
Anak saya sendiri tidak ketinggalan, dah beberapa hari ini saya tak cukup tidur kerana melayan ragam Qaisarah yang selesema. Biasalah bila hidung tersumbat pasti tidur malamnya akan terganggu. Tidur anak terganggu tidur ibu pun terganggu malahan emosi ibu pun terganggu sebab tak cukup tidur tapi menjelang pagi kerja kena pergi jugak.
Hari ini saya hendak berkongsi maklumat tentang Asma dalam kalangan kanak-kanan. Bila anak kena selesema ni kadang sebagai ibu kita perlu berjaga-jaga juga dikhuatiri selesema melarat menjadi asma.
Asma di kalangan kanak-kanak adalah penyakit yang biasa dan ia melibatkan semua peringkat umur. 10 -14 % kanak-kanak sekolah menghidap asma. Walau bagaimanapun, banyak kajian menunjukkan bahawa penyakit ini semakin menular dan lebih serius di kalangan kanak-kanak.
Serangan asma boleh tergolong kepada serangan yang tidak serius, sederhana hingga ke tahap yang boleh mengancam nyawa. Serangan asma adalah sebab utama/punca kanak-kanak dimasukkan ke hospital.
Asma terjadi kepada kanak-kanak samada mereka mempunyai sejarah asma di kalangan ahli keluarga ataupun tidak. Kanak-kanak yang ada sejarah asma di kalangan ahli keluarga dan penyakit alahan lain seperti eczema, allergic rhinitis dan demam alah (hay fever) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat asma.
Apakah itu asma?
Asma adalah satu penyakit radang sistem pernafasan yang kronik, di mana salur pernafasan menjadi:
* Merah
* Bengkak
* Menghasilkan lendir berlebihan
* Mudah terangsang (hypersensitive)
Apabila terdedah kepada rangsangan atau faktor pencetus, salur pernafasan menjadi sempit dan ini menyebabkan kesukaran bernafas.
Tahap serangan asma berubah mengikut masa bergantung kepada pendedahan terhadap pencetus dan ubat kawalan asma.
Apakah faktor pencetus?
Ada beberapa faktor pencetus yang menyebabkan gejala asma. Ada faktor pencetus yang biasa kepada semua pengidap asma, manakala ada antaranya bergantung kepada individu tersebut. Antara faktor pencetus asma adalah:
* Jangkitan virus pada sistem pernafasan
* Merokok
* Perubahan cuaca
* Alahan pada debunga seperti house dust mile ,kulat dan binatang peliharaan
* Senaman
* Bahan perangsang seperti minyak wangi, bau cat dan habuk lantai
* Makanan dan perasa tambahan makanan
* Ubat seperti aspirin atau lain-lain ubat tahan sakit (NSAIDs atau pain killer)
* Emosi
* Gastro-oesophageal reflux (Pengaliran asid dari dalam perut ke atas)
Apakah gejala asma?
Gejala utama adalah:
* Batuk
* Batuk di waktu malam (waktu tidur)
* Rasa ketat di dada (nafas berbunyi seperti visel)
* Susah bernafas
Apakah tanda tanda asma?
* Sebahagian dari kanak-kanak tiada tanda perubahan fizikal semasa bebas dari serangan asma.
* Dada berbentuk dada burung (Barrel-shape chest) dapat dielakkan sekiranya asma dapat dikawal dengan baik.
* Adanya tanda-tanda penyakit eczema dan resdung (allergic rhinitis) juga menyokong diagnosa asma.
Tanda kelihatan lebih jelas sewaktu serangan asma. Kanak-kanak mungkin mengalami:
* Nafas berbunyi (Audible wheeze)
* Susah untuk menghembus nafas (breath out)
* Nafas laju
* Denyutan jantung cepat
Serangan yang teruk menyebabkan kanak-kanak :
* Kelihatan gelisah
* Letih lesu
* Bimbang
* Kulit berpeluh dan sejuk
* Warna kebiruan pada bibir dan kuku
Sasaran rawatan
* Untuk menghilangkan dan mengawal gejala asma
* Mengelak serangan asma
* Mempunyai kualiti hidup yang baik
* Berupaya menyertai acara sukan
* Menghalang kemusnahan tisu paru-paru
* Mengelakkan kematian
Apakah jenis rawatan asma?
Ubat asma terbahagi kepada 3 jenis ;
1. Ubat Pencegah
Ubat ini dapat mengelakkan serangan asma dengan mengawal radang di sistem pernafasan. Ia bertindak dengan mengurangkan bengkak dan pembentukan lendir di sistem pernafasan.
2. Ubat Pelega
Ubat ini bertindak dengan mengendurkan otot-otot pernafasan dan ini seterusnya akan membuka salur pernafasan yang sempit.
3. Ubat kawalan
Ubat ini bertindak mengendurkan otot pernafasan dan mengekalkan salur pernafasan dalam keadaan terbuka buat masa yang lama. Ia digunakan untuk kes serangan asma yang teruk.
Apa yang perlu dilakukan untuk mengawal asma?
* Elakkan faktor pencetus asma
* Gunakan ubat pencegah setiap hari mengikut arahan doktor
* Gunakan ubat asma dengan cara yang betul
* Kenali tanda serangan asma dan dapatkan rawatan awal
* Ikut arahan plan tindakan asma yang diberi oleh doktor
* Lawatan susulan yang berkala sebagaimana arahan Doktor
Bolehkah asma disembuhkan?
Asma hanya boleh dikawal tetapi tidak boleh disembuhkan.Sebahagian kanak-kanak pulih semasa usia meningkat remaja, manakala sebahagiannya mendapat gejala yang lebih teruk.
Ramai kanak-kanak akan bebas dari asma, walaubagaimanapun ada gejala asma yang menyerang kembali di kemudian hari.
Disleksia Dalam Kalangan Anak-anak
Masalah Pembelajaran ‐ Disleksiaoleh: Nor Ardiaty Azleen
Apa itu Disleksia?
• Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.
• Kanak-kanak Disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun
mereka telah berusaha bersungguh-sungguh
o Mempunyai keupayaan intelek yang normal
o Telah mendapat ransangan dan pembelajaran yang mencukupi
• Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi
• Mereka mungkin mengalami kesukaran
o Membaca
o Menulis
o Memahami
o Mengeja
o Mengira
• Dianggarkan 4 – 8 % pelajar sekolah yang bermasalah disleksia
• Kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah Disleksia berbanding perempuan.
Apakah ciri-ciri Disleksia?
1. Diperingkat pra sekolah mereka mungkin :
o Lambat bertutur
o Mengalami kesukaran sebutan atau rima
o Sukar menulis nama sendiri
o Payah mengenal bentuk atau warna
o Sukar memberitahu cerita yang telah didengarinya
2. Di alam persekolahan, kanak-kanak Disleksia mungkin :
o Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau
mengira
o Tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas
o Kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (Bacaan terbalik) :
15 dengan 51
“was” menjadi “saw”
‘b’ dengan ‘d’‘
o Kurang koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut
o Keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam’, ‘ hari ini’ , ‘esok’
o Kesukaran memahami, mengingati dan mengikuti arahan
o Selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah
Adakah individu Disleksia mempunyai keistimewaan?
• Antara orang ternama yang juga mengalami Disleksia termasuklah ahli politik (Lee
Kuan Yew), pelakon (Whoopi Goldberg), artis (Leonardo da Vinci) dan saintis
(Albert Einstein)
• Ramai yang berdaya imaginasi tinggi, amat kreatif dan mampu berfikir dari pelbagai
sudut / dimensi
• Bijak dengan kemahiran tangan atau sukan.
Masalah yang mungkin dialaminya
• Salah sangka dan digelar sebagai malas, bodoh atau lembab
• Pembentukan imej diri yang sihat terjejas dan mengalami rasa rendah diri
• Jika tidak dikenalpasti dan dibantu diperingkat awal boleh menyebabkan
o Gangguan emosi (seperti kemurungan)
o Masalah tingkahlaku (seperti melawan, kecelaruan tingkahlaku)
o Rendah pencapaian akademik (menyebabkan keciciran sekolah)
Membantu anak-anak bermasalah Disleksia
Langkah-langkah untuk membantu mereka termasuklah :
1. Bantu kanak-kanak dan keluarga mengendali permasalahan ini dan bina keyakinan
diri anak
2. Rawat penyakit lain yang mungkin berkait seperti Gejala Hiperaktif dan Kurang Daya
Tumpuan
3. Pertingkatkan potensi pembelajaran anak melalui :
o Terapi pertuturan
o Latihan pendengaran dengan bantuan komputer
o Pendekatan pelbagai deria (Menggunakan deria lain untuk membantu
pembelajaran)
1. Deria sentuhan (menggunakan lakaran atas kertas pasir)
2. Deria pendengaran (menggunakan ritma atau bunyi perkataan/ huruf)
3. Merasa pergerakan bibir
4. Menulis huruf atau perkataan
4. Langkah-langkah pemulihan :
o Bantu anak menguasai maklumat secara beransur ansur
o Pengulangan semasa mengajar (konsep ajar berlebihan)
o Gunakan video atau kaset untuk belajar
5. Program pemulihan khusus :
o Ada sekolah yang mempunyai program pemulihan khusus untuk Disleksia
Tuesday, June 14, 2011
Remaja !!
Arus globalisasi yang melanda seluruh dunia membawa perubahan kepada negara dan rakyat, termasuklah dalam soal trend semasa dari segi gaya hidup dan cara berpakaian,terutamanya dalam kalangan remaja.Oleh hal yang demikian , trend ini dibimbangi akan mempengaruhi budaya hidup masyarakat Malaysia pada masa akan datang.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, remaja mudah terikut-ikut dengan sesuatu yang baru dan memang memiliki sikap suka mencuba sesuatu perubahan yang berlaku. Lebih-lebih lagi dalam mengikut gaya berpakaian yang mendedahkan aurat atau gaya yang mengikut trend dan gaya artis pujaan mereka remaja akan lebih mudah berasa kagum akan trend tersebut.
Selain itu, remaja juga mula menyukai amalan hidup bebas tanpa mengenal batas agama serta adat. Hal ini wujud akibat daripada pendedahan tentang amalan hidup bebas melalui program-program yang disiarkan di televisyen , pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita mahupun pergaulan bebas sesaae jenis diamalkan seolah-olah tiada sempadan yang menghalang mereka bahkan digalakkan lagi kononnya untuk menunjukkan kemodenan.
Pada waktu yang sama, remaja serta masyarakat itu sendiris ecara umumnya telah mempunyai sifat individualistik dan materialistik yang lebih mementingkan kemewahan hidup justeru mengetepikan hubungan mesra sesama anggota keluarga serta amalan nasihat-menasihati. Jelaslah amalan nasihat-menasihati antara keluarga tidak lagi menjadi budaya apabila mendapati kepincangan dalam cara hidup remaja.
Seterusnya, terdapat juga remaja yang diketahui telah tergelincir daripada landasan agama dengan menjadikan budaya kuning dan gaya hidup barat seperti budaya Black Metal dan melepak sebagai kiblat kehidupan. Hal ini bersangkut-paut juga dengan ketandusan agama yang sepatutnya dibekalkan kepada remaja. Masalah ini memang memeningkan kepala masyarakat justeru ibu bapa perlu juga memainkan peranan untuk memberi bekalan agama kepada remaja.
Disamping itu, gaya hidup remaja juga banyak terpesong kerana mereka tidak lagi mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat sehingga tiada lagi budaya hormat-menghormati, nilai kesantunan dan sebagainya. Dalam kamus hidup remaja kehidupan mereka hanyalah untuk mereka sahaja tanpa perlu memikirkan tentang kehidupan orang sekeliling. Oleh hal yang demikian mereka tidak lagi merasa segan silu untuk megeluarkan kat-kata kesat dan lucah walaupun berada bersama-sama dengan orang yang lebih tua.
Secara tuntas jika remaja dibiarkan dengan sikap sebegini, nescaya masyarakat akan datang akan lupa akan budaya sendiri dan menjadikan trend semasa sebagai amalan serta gaya kehidupan mereka.Senario ini persis dengan peribahasa hilang budaya hilanglah bangsa.
Subscribe to:
Posts (Atom)



