-------------------------------------------------------------------




Wednesday, June 15, 2011

Masalah Disiplin Pelajar di Sekolah

Source: www.beritasemasa.com
(Bongkar) Masalah Disiplin Pelajar di Sekolah
Masalah disiplin pelajar di sekolah makin menjadi-jadi itu belum ditambah lagi keruntuhan akhlak dan masalah sosial dikalangan remaja umumnya. Sebenarnya ia melibatkan kerjasama pelajar itu sendiri, guru-guru dan juga ibubapa. Masalah disiplin pelajar bagaikan tidak ada jalan penyelesaian. Ini kerana, saban hari ada saja masalah membabitkan disiplin pelajar berlaku di sekolah.
Kerenah pelajar dahulu dengan sekarang tidak sama. Masalah disiplin pelajar di sekolah dahulu tidak sama berbanding sekarang
  1. Adakah ini disebabkan anak-anak hari ini terlalu dimanjakan oleh ibubapa?
  2. Guru-guru pula pula terikat tidak boleh mendenda atas kesalahan yang mereka lakukan? Kalau kasar sedikit, ada sesetengah ibubapa yang mula membuat laporan kononnya anak mereka tu baik, alim, pijak semut pun tak mati, buah hati intan payung mereka. Sedangkan dalam mendisiplin anak-anak hari ini perluanya ada PENEGASAN dalam erti kata untuk mendidik mereka semua.
  3. Pelajar hari ini hilang rasa hormat dan tidak tahu di mana batas antara seorang yang bergelar pelajar dengan guru mereka sendiri?
Saya lihat pelaksanaan untuk memperbaiki disiplin pelajar sekarang ini ala-ala carca merba sahaja. Sekejap tidak boleh, sekejap boleh. Kemudian sekarang ini guru-guru tidak dibenarkan merotan pelajar. Bagi saya sendiri merotan adalah cara paling berkesan dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah. Untuk mengatasi masalah disiplin yang kian berleluasa ketika ini, kita perlu mengambil langkah dari peringkat akar umbi lagi. Saya ingin mengajak pembaca untuk balik ke zaman 30 atau 40 tahun lalu.
Pasti ada di antara kita yang merasai zaman persekolahan dahulu dan masih ingat kawalan disiplin dilaksanakan. Hukuman rotan di depan pelajar dilihat sebagai cara paling berkesan menangani masalah disiplin pelajar ditambah dengan sesi kaunseling dan memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar terbabit. Adakah tindakan guru merotan pelaksanaan pelajar boleh mengakibatkan pelajar itu cedera parah atau mati? Saya tidak percaya guru-guru sanggup berbuat sampai begitu sekali. Guru diberi kepercayaan dan kuasa untuk merotan pelajar bersalah. Ia ditambah dengan sokongan penuh ibu bapa yang berpendapat hukuman rotan adalah perlu dalam proses mendidik dan menghukum pelajar yang melakukan kesalahan. MEROTAN bukannya tindakan menghukum semata-mata, tetapi sebagai satu PERINGATAN kepada pelajar.
Situasi pada masa dahulu :
Ayah, tadi ada guru rotan adik sebab tak buat kerja sekolah. Bagusrasakan. Memang patut pun cikgu rotan. Pergi ambil roti panjang ayah atas almari. Ayah ada nak kasi hadiah.
Situasi pada masa sekarang :
Ayah, tadi ada guru rotan adik sebab tak buat kerja sekolah. Takpe anakku, esok ayah pergi sekolah jumpa cikgu adiktu. Kasihan anak ayah kena rotan ye..(lebih kurang macam itula)
Nampak???? Cuba waktu dulu kalau kita dirotan, tidak berani rasanya mengadu kepada ibu bapa bahawa telah dirotan kerana kita tahu ayah kita akan merotan lagi. Ia terjadi disebabkan pendirian ibu bapa bahawa guru tidak akan merotan tanpa sebab. Keadaan sangat berbeza pada hari ini. Hukuman rotan dilihat sebagai tindakan mendera, kasar dan tidak sesuai dilaksanakan dalam proses mendidik pelajar.  Hukuman rotan di khalayak dimansuhkan dan guru tidak dibenarkan merotan pelajar kecuali pengetua atau guru besar dan guru disiplin. Ramai juga pelajar dahulu yang telah berjaya.
Sebagai alternatif, pendekatan secara nasihat, kursus dan kaunseling digunakan bagi mengawal masalah disiplin. BERKESAN?  Tidak perlu dinyatakan keberkesanan cara itu kerana masalah disiplin pelajar sekolah pada hari ini tetap pada tahap membimbangkan malah semakin hari semakin meruncing. Berjayakah cara itu? Kita tahu jawapannya
Kadang-kadang  ibubapa hari ini janganlah nak berlagak samseng di sekolah. Kononnya ingin menjadi HERO kepada anak sediri yang telah lakukan kesalahan. Hari ini, pemikiran sesetangah ibu bapa tidak lagi seperti dulu. Anak terlalu dimanjakan. Mereka bukan saja tidak mengakui hakikat tingkahlaku negatif anak mereka di sekolah, malah jika anak mereka dikenakan tindakan atas kesalahan yang dilakukan, pihak sekolah dipersalahkan.
Tidak memeranjatkan hari ini, tindakan ibu bapa yang membuat laporan polis dan menyaman pihak sekolah ialah senario yang biasa hari ini.  Ia antara faktor yang menyebabkan guru, pengetua dan pihak sekolah terpaksa menyembunyikan kes disiplin pelajar di sekolah. Selain ada sesetengah sekolah yang bertindak begitu kerana ingin menjaga nama baik sekolah masing-masing. Dengan tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul di samping tidak ada pihak yang membela jika pengetua dan guru disaman oleh ibu bapa maka mereka seolah-olah menutup mata terhadap masalah disiplin yang berlaku di depan mata.
Yabetul menjadi guru adalah suatu pekerja yang sangat mulia dan bukan mudah sebenarnya lebih-lebih lagi berhadapan dengan kerenah pelajar di sekolah pada hari ini. Kadang-kadang dilihat guru dilihat hanya mampu menangis dalam hati melihatkan :
Anak-anak yang terbiar ini dan yang datang dari keluarga yang tidak berapa ambil berat tentang pendidikan anak-anak.. Yang mewah dengan pelbagai harta benda tetapi teramat miskin perhatian dan kasih sayang daripada ibubapa sendiri.
Mak ayah yang hanya turunkan anak dari kereta-kereta mewah di pintu pagar sekolah, terus meluncur pergi tanpa sempat singgah di majlis khas untuk ibu bapa, kerana ada urusan kerja!!!
Pastinya guru lebih gembira sehingga menitis air mata melihat :
Seorang ayah yang hanya datang dengan basikal buruk disambut gembira oleh anak yang sedia menunggu di sekolah. Apabila ada perjumpaan antara ibubapa dengan guru, ayah yang seperti inilah yang menghadirkan diri.
Peranan ibu bapa cukup besar untuk mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak kerana sebahagian besar masa mereka sepatutnya bersama ibu bapa. Di sekolah masa yang terhad perlu diagih antara memberi pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian dan dalam pada masa yang sama membentuk perangai pelajar. Dalam pada masa yang sama, anak itu juga perlu ada kesedaran diri, disiplin diri.
Pada pandangan saya, cikgu-cikgu yang mengajar bukannya mengharapkan anda semua jadi jurutera, doktor, peguam atau apa sahaja jawatan tinggi. Cukuplah sekadar menjadi insan yang berguna. Sememangnya kejayaan anak didik adalah kebanggaan semua guru-guru dan warga pendidik. Namun ingatlah guru hanya memberikan kunci dan andalah yang akan menentukan penggunaan kunci itu setakat mana. Guru dan ibu bapa adalah sebahagian dari kejayaan anda, namun anda sahaja yang dapat menentukan dan mencorakkan kejayaan anda sendiri. Tanpa usaha anda, ilmu yang dicurahkan tidak akan kemana, ibarat menuang air ke daun keladi.
Terima kasih kerana menghargai jasa guru dan seluruh warga pendidik.
Ini saya kongsikan beberapa aktiviti  yang sering mengundang masalah disiplin pelajar di sekolah :
  1. Kalau waktu prep malam, akan ada yang fly(keluar daripada kawasan sekolah tanpa kebenaran) untuk makan malam dan ada juga yang turun ke bandar
  2. Ada sesetengah masa pada waktu prep malam, pelajar -pelajar menggunakan masa tersebut untuk mengadakan sparing (berlawan/bergaduh) antara dua orang pelajar yang tidak berpuas hati antara satu sama lain. Kebiasaan aktiviti seperti ini diadakan di lokasi kelas yang jauh daripada perhatian warden.
  3. Pada waktu rehat, cuba lihat sendiri di tandas-tandas sekolah berkepul-kepul asap rokok pelajar yang berani melepaskan gian di sana. Itu waktu-waktu kebiasaan. Selain waktu selepas makan tengahari di asrama sekolah. Tidak percaya? Cuba lihat sendiri nanti
  4. Hujung minggu, pelajar-pelajar asrama kerap akan fly pada waktu malam melalui pagar-pagar yang sudah digunting atau melalui kawasan yang gelap dan tersorok daripada perhatian warden.
  5. Pada hujung minggu juga, di waktu awal pagi (antara 2 hingga 3 pagi) ada pelajar yang ada berbuat silap/kesalahan dengan kumpulan pelajar senior atau pun daripada rakan-rakan sendiri yang mempunyai pengaruh untuk membelasah pelajar tersebut. Budaya ini banyak berlaku di sekolah berasrama yang mengandungi pelajar daripada tingkatan 1  hingga 5. Kerana adanya istilah junior dan senior
  6. Bagi sekolah berasrama yang mempunyai pelajar lelaki dan perempuan, ada sesetengah pasangan pelajar (couple) yang menggunakan masa  yang ada untuk melepaskan rindu
  7. Bagi ibubapa rajin-rajinkanlah diri semak apa yang terkandung dalam telefon bimbit anak anda, komputer anak anda, apa yang ada di bilik anak anda.
  8. High Council pernah dengar? Budaya High Council pernah menggemparkan negara dengan tertangkap pelajar tingkatan lima dari Sekolah Sains Tunku Abdul Rahman, Perak yang dibuang sekolah kerana mengamalkan High Council. Sekarang ini pun, masih ada.
  9. Dan banyak lagi.anda boleh tambah sendiri di ruangan komen bawah
Masih ingat lagi, kes disiplin pelajar di mana lapan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato Klana Petra Maamor di Seremban didapati bersalah atas tuduhan membelasah sehingga mati seorang pelajar tingkatan empat sekolah yang sama, Muhammad Farid Ibrahim, 16, yang telah berlaku pada 28 Mac 2004. Allahyarham telah diikat kedua-dua tangan dan kaki, dipukul secara bertubi-tubi di seluruh badannya hingga menyebabkan tengkorak kepala retak, usus dan hati serta pundi kencingnya juga turut pecah.
Masalah disiplin di sekolah bukan perkara baru. Cadangan demi cadangan dikemukakan dan pelbagai pihak menunjukkan keprihatinan untuk menangani masalah disiplin tetapi rata-rata banyak pihak menuding jari ke arah guru dan pihak sekolah jika masalah disiplin gagal dibendung. Kita juga tahu jawapannya. Masalah disiplin tetap berlaku dan kadarnya makin meningkat.
Kita sudah nampak perbezaan keberkesanan antara pendekatan lama dan baru. Jika kita terlalu memanjakan dan membela anak atau pelajar bermasalah, maka inilah yang akan merosakkan mereka pada masa akan datang.
Update pada 27 April 2010 !!
KAJANG: Lapan pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah agama di Seremban yang didapati bersalah membunuh seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah sama, tujuh tahun lalu dilaporkan kini sudah dibebaskan dari Kompleks Penjara Kajang. Kumpulan pelajar itu baru saja dibebaskan bulan lalu selepas berada di penjara itu hampir tujuh tahun dan dikatakan sedang menyambung pengajian peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan. Katanya, mereka sebelum ini mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang, termasuk Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat di Sekolah Integriti Kajang (SIK) adalah perintis program pemulihan penjara itu.
Lapan pelajar, lima berasal dari Kuala Lumpur dan tiga dari Negeri Sembilan, dituduh secara bersama-sama membunuh seorang pelajar Tingkatan Empat, pada 28 Mac 2004. Semua mereka yang kini berusia 23 tahun itu dituduh melakukan perbuatan itu antara jam 10.30 pagi dan 4.15 petang di Asrama Putera sekolah itu. Menurut sumber, walaupun sejarah hidup mereka pahit, mereka pandai dan peluang harus diberikan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Pada 6 Ogos 2004, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Azhar Maah memerintahkan lapan pelajar itu ditahan mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kelapan-lapan pelajar itu pesalah juvana dan berdasarkan hakikat itu mereka dihukum mengikut Seksyen 97, Subseksyen 2 (b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu boleh ditahan dipenjara berdasarkan budi bicara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana kesalahan berkenaan dilakukan di Negeri Sembilan.
Perbicaraan kelapan-lapan pelajar itu bermula sejak 14 Jun 2004 dan sepanjang 18 hari perbicaraan, 25 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.  Sementara itu, jurucakap Istana Negeri Sembilan ketika dihubungi mengesahkan berhubung pembebasan lapan pelajar itu selepas rayuan terakhir mereka diluluskan oleh Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), tetapi enggan mengulas lanjut. Sumber Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Guru & Ibubapa: Siapakah Pendidik Sebenarnya?

 
Tatapan Minda Copyright © 2011