-------------------------------------------------------------------




Monday, October 5, 2009

Tingkatkan Kreativiti Anak Melalui Lukisan dan Kraf

MELIHAT seorang kanak-kanak melukis beberapa bulatan sama, saya bertanya kepada si kecil, apakah makna lukisannya. Jawapannya: “Bulatan pertama ini kuda, yang tengah ni harimau dan yang hujung pula gajah. Semua binatang ni ada dalam zoo.”

Si kecil kemudian bercerita apa yang dilakukan haiwan dalam lukisannya. Tertarik mendengar ceritanya, saya cuba mencelah dengan tujuan mahu menjadikan cerita lebih menarik sambil merujuk bulatan kedua sebagai kuda (kerana semua bulatannya sama). “Bukanlah, yang tengah ni harimau,” tegur si kecil membetulkan kesilapan itu.

Saya terpegun kerana dengan hanya melukis bulatan, si kecil boleh ‘mencipta’ permainan atau aktiviti mindanya sendiri. Lebih mengagumkan, setiap bulatan ada watak tersendiri yang menjadi satu cerita dalam mindanya, sedangkan semua bulatan sama besar dan tiada tanda membezakannya.

Menurut ibu bapanya, mereka menggalakkan anak melukis kerana ia antara cara terbaik untuk memupuk kreativiti kanak-kanak. Bagaimanapun, bukan semua orang mempunyai pendapat sama seperti ibu bapa si pelukis kecil kerana ada yang merungut melihat anak lebih suka melukis dan cepat hilang minat apabila diajar mengenal huruf dan angka.

Kebanyakannya bimbang anak mereka akan ketinggalan berbanding rakan sebaya yang mungkin sudah boleh mengira atau menghafal beberapa abjad. Malah, ada ibu bapa menganggap minat anak untuk melukis sebagai kurang berguna atau tidak bermanfaat.

Pun begitu, kebanyakan ibu bapa tetap membeli buku, pensil dan alat mewarna dengan tujuan memberi aktiviti kepada si kecil, sekali gus mengelak mereka meragam atau mengacau kerja sekolah anak lebih tua.

Lumrah kanak-kanak suka melukis. Bermula daripada conteng-conteng, kepada garis senget, bulatan, orang lidi sehingga mereka pandai melakar bentuk tertentu; semuanya dilakukan dengan tekun dan sepenuh hati.

Melukis bukan kerja sia-sia walaupun lukisan anak anda tampak seperti cakar ayam. Justeru, usah halang minat ini kerana ia banyak manfaat dan memberi sumbangan besar terhadap perkembangan minda, intelek dan merangsang kemahiran tangan kanak-kanak.

Melukis boleh merangsang pembentukan minda kreatif kanak-kanak selain ‘menggerakkan’ otak kanan untuk berfikir. Kebanyakan aktiviti seperti percakapan, analisis (mentafsir), rasional, logikal, belajar bahasa dan mengira (termasuk mengenal abjad dan huruf) menggunakan otak kiri. Manakala otak kanan pula digunakan dalam aktiviti kreatif yang tidak membabitkan perkataan seperti lukisan, kraf dan muzik.

Penggunaan otak kiri dan kanan perlu seimbang. Malangnya, kebanyakan kita lebih banyak menggunakan otak kiri dan membiarkan sel otak kanan ‘menjadi tua’ dengan sia-sia. Mungkin ini sebabnya ramai antara kita cepat mengalah apabila berdepan halangan, sedangkan ia boleh diatasi jika kita boleh berfikir secara kreatif.

“Cuba perhati anak anda melukis. Mereka memberi sepenuh perhatian dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Ini adalah cara melatih anak memberi tumpuan terhadap sesuatu pekerjaan yang dilakukan.

“Malah, bagi kanak-kanak lebih kecil pun, memegang pensil atau pensil warna adalah proses pembelajaran. Ia membantu perkembangan otot tangan dan kawalan motor iaitu kemahiran yang membolehkan seseorang kanak-kanak melakukan perkara seperti menulis dan memegang objek kecil.

“Mungkin tidak ramai ibu bapa sedar, melukis adalah aktiviti menggembirakan dan boleh menenangkan perasaan anak. Keinginan ibu bapa melihat anak mereka pandai dalam bidang akademik (termasuk membaca dan mengira) pada usia sangat muda boleh membuat anak tertekan.

“Keadaan menjadi lebih payah kerana kanak-kanak tidak tahu untuk memberitahu mereka berasa tertekan. Jadi usah halang anak melukis, ia menggembirakan mereka,” katanya.

Antara kemahiran yang dipertingkatkan melalui lukisan dan kraf ialah:

# Logik

# Kreativiti

# Keyakinan diri

# Kepekaan sosial (boleh bersosial dan berinteraksi dengan orang lain)

# Perkembangan kemahiran tangan

# Pandai meluahkan emosi

# Koordinasi tangan dan mata

# Membentuk personaliti

# Menghargai kecantikan

Kini ramai ibu bapa moden, terutama yang tinggal di bandar, mula menghantar anak ke kelas seni dan kraf selepas menyedari manfaatnya, terutama dalam membantu perkembangan minda serta terbukti dapat meningkatkan daya tumpuan ketika belajar.

Melukis juga cara anak meluahkan pemikiran dan perasaan. Oleh kerana penguasaan bahasa terhad, kebanyakan kanak-kanak tidak tahu menceritakan apa yang ada dalam fikiran mereka.

Ibu bapa boleh menjadikan lukisan anak sebagai perantara untuk berkomunikasi dengan si kecil. Beri rangsangan kepada anak dengan memuji lukisan mereka cantik, walaupun pada pandangan anda ia hanya corengan.

Usah buat tafsiran sendiri kerana anda tidak tahu apa yang ada dalam fikiran anak, sebaliknya minta mereka cerita mengenai lukisannya. Tanpa sedar, anda sebenarnya menggalakkan anak untuk berfikir — bermula daripada melukis hinggalah kepada bercerita.

Sesetengah kanak-kanak sukar diajak berkomunikasi, terutama jika mereka pendiam. Komunikasi perlu berlaku dalam dua hala dan dalam situasi begini, lukisan boleh menjadi medium untuk berinteraksi dengan anak.

Komen positif terhadap hasil kerja anak akan membuatkan mereka gembira. Biasanya dalam keadaan gembira kanak-kanak lebih mudah berinteraksi dan bercerita. Dalam keadaan membabitkan kanak-kanak kecil, mereka mungkin tidak faham apa yang anda puji, tetapi nada suara dan senyuman anda membuatkan mereka tahu mereka melakukan sesuatu yang baik dan disukai.

Lebih banyak anda terbabit dalam aktiviti ini, anak berasa lebih seronok. Malah, ibu bapa boleh melukis bersama dengan anak yang secara tidak langsung bukan saja dapat mengeratkan hubungan, tetapi menghabiskan masa berkualiti bersama si kecil.

Mungkin ada ibu bapa tidak tahu bagaimana hendak memberi rangsangan tambahan kepada anak selain membeli alat melukis dan meluangkan masa bersama mereka. Banyak boleh dilakukan seperti menyediakan tempat atau bilik khas untuk menggantungkan lukisan anak.

Jika rumah sempit, anda boleh membuat ‘ampaian khas’ untuk menggantungkan lukisan anak dengan hanya menggunakan tali dan penyepit. Ini memudahkan anda menukar apabila si kecil menghasilkan karya baru. Kaedah mudah begini memberi galakan kepada anak meluahkan kreativitinya di atas kertas dan bukan di dinding!

Lukisan juga boleh menjadi medium untuk seseorang meluahkan perasaan. Kanak-kanak lebih besar seperti prasekolah pandai menyatakan emosi atau apa terjadi kepada mereka melalui lukisan wajah sedih, marah, gembira atau takut. Mereka juga melukis apa yang ingin dimiliki atau dilakukan.

Ini juga sebabnya lukisan dijadikan terapi (dikenali sebagai terapi seni) ke atas kanak-kanak yang alami masalah psikiatri atau melalui trauma. Terapi seni digunakan untuk membantu kanak-kanak yang mengalami trauma dengan kematian ibu bapa dan hilang tempat tinggal seperti insiden taufan, gempa bumi atau peperangan.

Namun, terapi seni bukan hanya untuk kanak-kanak bermasalah saja. Seni sama ada lukisan, kraf, kolaj atau yang menggunakan tanah liat juga mempunyai kesan terapeutik kepada semua golongan.

Pertandingan lukisan

Jika diperhatikan di negara kita dalam apa juga acara yang membabitkan keluarga, pasti ada acara pertandingan mewarna atau melukis. Biasanya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak kecil dan bagi kanak-kanak lebih besar diadakan pertandingan melukis.

Antara agenda penganjur ialah memberi aktiviti kepada kanak-kanak tanpa menyedari ia acara yang sangat berguna. Ia bukan saja memberi peluang kanak-kanak melahirkan kreativiti, tetapi merangsang kemahiran menyelesaikan sesuatu tugas dalam masa ditetapkan.

Kanak-kanak berumur lapan tahun ke atas layak memasuki pertandingan melukis kerana pada peringkat umur ini mereka ada ilham dan pandangan sendiri terhadap sesuatu perkara sesuai dengan tema pertandingan.

Mereka akan mempunyai pengetahuan lebih luas jika ibu bapa sentiasa meluangkan masa bercerita mengenai isu semasa, sama ada di dalam atau di luar negara, khususnya membabitkan kanak-kanak. Yang membezakan ialah kreativiti, kemahiran mengadun warna dan kesungguhan melakukannya.

“Pertandingan boleh menjadi saluran menguji kanak-kanak daripada segi moral, kesabaran, kepekaan terhadap sekeliling, kreativiti dan kemampuan bertolak ansur. Ini kerana dalam pertandingan, mereka dalam situasi mencabar untuk menghasilkan kerja yang lebih baik daripada orang lain.

“Mereka juga perlu belajar bertolak ansur dan menerima kekalahan. Bagi kanak-kanak, ia bukan mudah kerana jika di rumah, mereka tetap dapat ganjaran walaupun kerja dihasilkan kurang baik. Namun dalam pertandingan, mereka perlu belajar terima hakikat ada orang yang lebih baik.

Selain perlu memberi lebih tumpuan dan membuat persediaan, pertandingan lukisan menuntut kanak-kanak belajar melakukan tugas dengan teratur, cepat dan paling penting berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat hasil baik.

“Ini antara persediaan awal untuk kanak-kanak menghadapi masa depan. Kanak-kanak sekarang manja kerana mempunyai ibu bapa yang boleh memenuhi hampir semua permintaan mereka. Semua ibu bapa mahu memberi kehidupan baik kepada anak dengan cara itu, tetapi tindakan ini ada kekurangannya.

“Anak secara tidak langsung belajar bahawa jika mahukan sesuatu, mereka hanya perlu minta daripada ibu bapa tanpa perlu berusaha. Anak perlu diajar berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan sesuatu yang istimewa jika mahukan sesuatu. Ini adalah hakikat kehidupan sebenar yang perlu dipupuk dari kecil.

Sama seperti dalam pertandingan lukisan, kalau mahu menang, mereka perlu bekerja keras menghasilkan karya unik dan baik. Andai kalah, bermakna mereka belum cukup baik dan perlu berusaha lagi. Bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Bahkan beberapa ibu yang ditemui dalam satu pertandingan juga mengakui melihat perubahan besar pada anak, terutama keyakinan mereka selepas beberapa kali menyertai pertandingan lukisan. Kebanyakannya menjadi lebih yakin, berani dan boleh berbual dengan rakan yang baru pertama kali ditemui dalam satu-satu pertandingan.

Mereka juga boleh menerima setiap keputusan dengan hati terbuka dan menjadikan kekalahan sebagai cabaran untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh bagi pertandingan akan datang. Walaupun ramai tidak dapat hadiah, mereka tidak pulang dengan tangan kosong. Masing-masing membimbit hasil karya yang mempamerkan kesungguhan dan kreativiti mereka.

Monday, April 13, 2009

Didikan Ke arah Anak-Anak Yang Soleh

,

Setiap dari kita mengharapkan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh. Untuk melahirkan anak-anak yang soleh, ia memerlukan dua kunci utama: Pertama: ia harus bermula dari diri kita sendiri sebagai ibu-bapa. Kedua: pendidikannya harus bermula dari kandungan di perut ibu lagi.

Bagaimana ia harus bermula dengan diri kita sendiri sebagai ibu-bapa. Kita harus menunjukkan contoh yang baik untuk menjadi ikutan anak-anak kita. Sebagai contoh, apabila kita menyuruh anak kita agar belajar, kita harus bersama-sama dengan mereka membaca dan tidak menonton televisyen. Jika kita tidak mahu anak lelaki kita merokok, kita juga tidak harus merokok. Jika kita tidak mahu anak perempuan kita memakai pakaian yang membuka aurat, kita juga tidak harus memakai pakaian yang membuka aurat.

Tetapi jika sebaliknya berlaku, jika kita menyuruh anak kita melakukan sesuatu sedangkan kita sendiri tidak melakukannya, atau kita melarang anak kita melakukan sesuatu sedangkan kita sendiri melakukannya, maka ia akan mengurangkan sifat hormat anak-anak kita terhadap diri kita. Tentu sekali kita tidak mahu ditegur sebagai 'cakap tak serupa bikin'.


Kunci kedua bagi melahirkan anak-anak yang soleh adalah dengan pendidikan yang bermula dari kandungan itu sendiri, bahkan dari waktu pertama titisan air mani bertemu dengan telur di rahim. Rasulullah s.a.w mendidik kita agar meminta perlindungan dari Allah apabila kita menggauli isteri kita kerana ketika itu, jika kita tidak meminta perlindungan dari Allah, syaithan akan mendahului kita mencampakkan benihnya dalam rahim isteri kita. Maka tidak hairanlah jika ada di kalangan kanak-kanak yang secara semulajadi kasar tabiatnya. Bukan salah kanak-kanak itu tetapi salah ibu bapanya yang tidak mengikut apa yang diajar oleh Islam.


Ketika isteri kita mengandungkan anak kita, pendidikan anak kita sudah boleh bermula. Janin dalam perut sudah boleh mendengar bunyi-bunyian, walaupun mereka tidak memahaminya. Ini sudah terbukti dari kajian-kajian sains sekarang ini. Akan tetapi, saudara-saudara sekelian, Allah s.w.t telah memberitahu kita umat Islam sejak 1400 tahun dahulu. Kita tidak perlu menunggu kajian sains untuk membuktikannya. Dengarlah firman Allah s.w.t dalam surah As-Sajadah, ayat 23:


Ertinya: Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Perkara pertama yang dianugerahkan kepada manusia adalah pendengarannya. Kemudian barulah datang penglihatan dan akhirnya akal fikiran. Maka apakah bunyian dan suara yang ingin kita perdengarkan kepada anak kita dalam kandungan? Apakah bunyian dan suara yang ingin kita biasakan mereka mendengarkannya dan merasa tenang dengannya? Adakah nyanyian dan muzik? Atau adakah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran? Adakah kita ingin memperdengarkan mereka kata-kata kesat dan kotor? Atau adakah kita ingin memperdengarkan mereka dengan kata-kata lembut dan sopan? Ketahuilah bahawa apa yang biasa didengar oleh janin dalam kandungan akan tercetak di akalnya sehingga dia hanya merasa tenang dan biasa dengan bunyi-bunyian tersebut apabila ia dilahirkan kelak. Maka pilihlah bunyi-bunyian yang boleh menjadikannya anak yang soleh, anak-anak yang baik pertuturannya dan akhlaknya dan senang dengan Al-Quran, bukan yang kasar akhlaknya dan berasa janggal dengan Al-Quran.

Anak-anak adalah seperti kain putih. Sebagai ibu-bapa, kitalah yang mencorakkannya. Kitalah yang menentukan apakah warna dan bentuk yang ingin buat atas kain putih tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci bersih. Maka ibu-bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Majusi.

Sudah tentu kita tidak mahu anak-anak kita menjadi orang-orang Yahudi, Nasrani atau Majusi. Kita mahu anak-anak kita menjadi orang Islam. Kita mahu anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh. Maka ituklah ajaran Islam dalam pendidikan anak-anak kita. Insya Allah kita akan memperolehi anak-anak yang soleh. Sebaliknya, jika kita meniru cara-cara orang Yahudi, Nasrani dan Majusi dalam pendidikan anak-anak kita, maka mereka akan meniru cara-cara yang bertentangan dengan Islam.

Islam telah meletakkan garis pandu bagi umatnya dalam perihal pendidikan anak-anak. Ada dua aspek yang penting dalam Islam: iaitu bantuan dari manusia dan keberkahan dari Allah.

Aspek yang pertama, bantuan dari manusia ini merupakan teknik-teknik yang boleh diterapkan dalam pendidikan anak-anak. Sebagai contoh, apabila kita mengatakan kita adalah orang Islam, dan apabila kita mengatakan bahawa kita mahu anak-anak kita menjadi anak yang soleh, kita harus tanya diri kita sendiri, berapa pentingkah agama Islam itu terhadap diri kita dan anak-anak kita? Apakah keutamaan atau 'priority' yang kita letakkan terhadap pendidikan agama? Atau adakah kita lebih memberi keutamaan terhadap pendidikan yang tiada unsur agama Islam, seperti belajar bermain alat-alat muzik, berdansa dan sebagainya? Adakah anak-anak kita lebih mengetahui tentang jenis-jenis lagu dari rukun-rukun Islam dan Iman? Tidakkah rukun-rukun Islam dan Iman itu adalah asas keislaman seseorang? Apabila pulang nanti, cuba tanya kepada anak-anak kita, apakah itu rukun-rukun Islam dan Iman. Adakah mereka menghafalnya? Adakah mereka mengetahuinya? Bagaimana hendak dinamakan orang-orang Islam jika asas keislamannya dia tidak mengetahuinya?

Ramai kanak-kanak Islam sekarang lebih mahir membaca buku-buku Inggeris dari membaca Al-Quran. Ramai ibu-bapa meletakkan keutamaan atau priority dalam kefasihan anak-anak mereka membaca dan bertutur bahasa Inggeris, kerana menurut mereka bahasa tersebut menentukan kejayaan kanak-kanak tersebut di sekolah, terutama sekali dalam era internet sekarang ini. Ini tidak salah dalam Islam.

Tetapi kita juga mesti memberikan keutamaan dalam memastikan agar anak-anak kita mahir juga membaca Al-Quran, bukan merangkak membaca Al-Quran, atau lebih teruk, buta huruf Al-Quran. Sekiranya bahasa Inggeris dalam membantu kejayaan seseorang di dunia ini, bahasa Al-Quran dengan tidak syak lagi dapat memastikan kejayaan seseorang di akhirat kelak. Orang-orang yang mahir membaca Al-Quran dan beramal apa yang didalamnya akan bersama-sama para malaikat yang terpuji. Dan setiap ayat Al-Quran yang dibaca, walaupun tidak difahami, merupakan satu tingkatan di Syurga. Lebih banyak ayat Al-Quran yang dibaca, lebih tinggi kedudukan seseorang di Syurga. Saya ingin bertanya kepada saudara-saudara sekelian, kehidupan manakan yang lebih abadi dan kekal, kehidupan di dunia inikah atau kehidupan di akhirat?

Sekiranya kita mengatakan bahawa kehidupan akhirat yang kekal, maka janganlah kita abaikan pendidikan anak-anak kita dalam membaca dan mengetahui huruf-huruf Al-Quran. Jangan biarkan anak-anak kita tidak mahir atau tidak tahu tahu langsung tentang tanggungjwab mereka sebagai orang Islam. Jika ini berlaku, kita telah gagal dalam tugas kita sebagai ibu bapa Islam, walaupun anak-anak kita menjadi orang yang paling berjaya di dunia. Jika kita tidak mampu mengajar anak-anak kita membaca Al-Quran, hantarkan lah ia ke kelas-kelas pengajian Al-Quran, kerana Al-Quran akan menjadi benteng anak-anak kita dari terpengaruh dengan aqidah-aqidah agama lain yang menyeleweng.

Guru & Ibubapa: Siapakah Pendidik Sebenarnya?

 
Tatapan Minda Copyright © 2011