-------------------------------------------------------------------




Wednesday, June 15, 2011

KAEDAH PEMBELAJARAN YANG LEBIH BERKESAN


Teknik-teknik pembelajaran yang baik merupakan satu kaedah dalam usaha kita menghadapi pelajaran yang terbaik sebagai langkah untuk memperolehi kejayaan yang cemerlang di dalam bidang pembelajaran. Pelajar perlu memahami bahawa tidak ada satu 'formula' yang mesti dan tepat bagi merumuskan satu kaedah yang paling baik untuk menghadapi pelajaran melainkan ia banyak bergantung kepada diri pelajar itu sendiri. Apa yang penting untuk dijelaskan ialah beberapa garis panduan yang besar sahaja dikenalpasti untuk dijadikan landasan bagi seseorang pelajar bergerak menghadapi peperiksaan.
 
FAKTOR-FAKTOR DORONGAN DALAM PEMBELAJARAN
  • Mengenal pasti wujudnya 'motivasi dalaman' atau faktor-faktor pendorong di dalam diri maing-masing, misalnya kemiskinan.
  • Menginsafi akan kepentingan ilmu, tujuan ilmu dipelajari, untuk apa dan hendak ke mana ilmu yang dikumpulkan itu.
  • Dorongan dari rasa tanggungjawab sebagai seorang pelajar.
  • Menginsafi peranannya terhadap masyarakat pada masa hadapan.
  LANGKAH-LANGKAH PERSEDIAAN
  • Kesempurnaan kesediaan seseorang dari segi mental, fizikal dan rohani yang mampu mengahadapi peringkat pembelajaran yang baik.
  • Persediaan mental yang baik ialah persediaan tumpuan fikiran yang sepenuhnya terhadap pelajaran. Pemikiran yang masih bercampur-aduk dengan perkara-perkara lain akan mengakibatkan kebuntuan untuk memberi perhatian yang serius kepada pelajaran. Seseorang pelajar hendaklah menghilangkan ingatannya kepada perkara yang lain, sebaliknya ingatan hendaklah ditumpukan kepada pelajaran sahaja.
  • Berkhayal kepada perkara lain ialah penyakit yang paling besar bagi seseorang pelajar yang sedang menghadapi pelajarannya. Oleh itu, pelajar hendaklah mengelakkan diri daripada berkhayal semasa belajar.
  TEKNIK-TEKNIK PEMBELAJARAN
 
Suasana / Tempat Belajar
  • Elakkan suasana yang bising, banyak gangguan, tidak selesa dan sebagainya
Memilih Masa Yang Sesuai
  • Tidak semua waktu di dalam sehari boleh digunakan untuk menumpukan fikiran pada pelajaran.
  • Setiap hari persekolahan, peruntukan sekurang-kurangnya 2 jam untuk menelaah/mengulangkaji pelajaran di samping menyelesaikan kerja-kerja yang diberikan oleh guru. Pada waktu cuti, 4 hingga 5 jam adalah memadai untuk menelaah pada waktu yang sesuai, iaitu pada waktu pagi dan malam.(ingat ! waktu belajar yang sesuai tidak sama antara semua individu)
  • Menyediakan satu jadual kerja harian walaupun begitu, mungkin jadual tersebut tidak mampu diikuti sepenuhnya oleh pelajar.
  • Pembaziran masa dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan dengan memperkukuhkan mutu pembelajaran baik secara formal atau informal haruslah dielakkan.
Pembelajaran Di Sekolah
  • Pembelajaran di sekolah merupakan sumber yang penting serta yang paling baik untuk seseorang pelajar menghadapi pelajarannya, dan segala penumpuan yang maksimun haruslah diberikan serta tidak patut berlaku kecuaian, leka, nakal ketika berada di sekolah.
Membaca, Memahami dan Menghafal
  • Teknik pembacaan yang baik ialah pembacaan yang menyeluruh bagi pusingan yang pertama. Isi dan istilah-istilah yang penting digariskan. Kalau perlu isi yang digariskan itu dicatat sebagai nota pendek atau ringkas.
  • Ambil perhatian kepada isi-isi yang penting dan hendaklah dibaca selalu. Kalau perlu setiap isi-isi itu hendaklah dihafal sedaya mungkin terutama apabila hampirnya waktu peperiksaan. (ingat ! hafalan tanpa pemahaman yang kukuh adalah sia-sia).
  • Menyusun nota dengan teratur dan berkesan dan mempunyai ciri-ciri seperti :-
Mengandungi semua maklumat penting
Bersih dan mudah dibaca
Terkumpul (di dalam fail/Buku Khas)
Ringkas dan padat
 
Kesungguhan Belajar
  • Elakkan diri dari faktor-faktor yang boleh membosankan ketika membaca. Jangan sesekali membebankan diri dengan kerja-kerja sekolah yang terlampau banyak pada masa tertentu dan berehat panjang selepasnya.
  • Kesungguhan belajar mestilah berterusan dari segi semangat belajar dan usaha dari awal hinggalah ke masa peperiksaan.
  • Sentiasa meningkatkan semangat belajar dari masa ke semasa. Semakin hampir dengan tarikh peperiksaan semakin bersungguh-sungguh untuk belajar dan semakin berkeyakinan dalam menghadapi peperiksaan.
  • Kesungguhan belajar mungkin boleh dibina melalui kerja-kerja secara berkumpulan. Yang pentingnya carilah teman/rakan belajar yang boleh anda manfaatkan pengetahuan dan kefahaman anda kepadanya dan sebaliknya.
  • Yakinlah dengan kebolehan yang ada pada diri anda dan kesungguhan anda untuk belajar dan yakinlah dengan pertolongan Allah S.W.T.
  LUPAAN DAN INGATAN
Apakah sebabnya kita sering lupa ?
Kerana Gangguan
Membaca perkara-perkara lain selepas buku pelajaran menyebabkan soal peperiksaan luput dari ingatan.
Tumpuan Perhatian
Tanpa perhatain yang sepenuhnya ketika membaca menyebabkan perkara tersebut tidak dapat kekal lama.
Faktor Masa
Masa yang terlalu lama mungkin menyebabkan anda lupa akan apa yang telah dipelajari.
 
 
INGATAN
Manusia lebih senang mengingati sesuatu jika :-
Minat
Tinggikan minat terhadap perkara yang dipelajari.
Pilihan
Memilih isi-isi penting untuk diingati bagi peperiksaan.
Ulangan
Sentiasa mengulangkaji, boleh dibuat melalui perbincangan secara berkumpulan, penulisan semula atau pembacaan yang kerap.
Assasiasi
Membuat perkaitan dengan sesuatu perkara lain untuk ingatan.
Tubi Belajar
Di dalam proses pembelajaran terdapat peringkat seperti :-
1. Mendengar untuk pertama kali
2. Memahami
3. Menggunakannya
4. Mencipta yang baru
Jika anda membaca berulang kali, tentunya perkara tersebut akan dapat diingati di dalam satu jangkamasa yang lama.
 
PERSEDIAAN DALAM LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI PEPERIKSAAN
PERSEDIAAN ASAS
1. Semangat Yang Tinggi
2. Pembacaan Yang Banyak
3. Kefahaman Yang Jelas
4. Ulangkaji Berterusan
5. Keyakinan Diri
Di dalam menghadapi peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM, satu perkara yang tidak boleh dilupakan ialah persediaan di peringkat awal secara berterusan sehingga tiba masa yang ditetapkan dan akan menjadi lebih berkesan sekiranya kaedah pembelajaran yang betul diamalkan. Namun, ramai juga pelajar yang tidak dapat menghadapi peperiksaan dengan baik walaupun telah menumpukan banyak masa di saat awal hinggalah ke akhirnya. Malahan ramai juga yang pada saat-saat akhirnya menjadi putus asa.
Untuk menjawab pertanyaan ini cubalah bertanya kepada diri anda tentang :-
1. Adakah anda telah menghabiskan topik-topik penting ?
2. Adakah anda telah memahami apa yang diajar oleh guru atau dibaca sendiri ?
3. Adakah anda menhadapi pelajaran dengan semangat yang tinggi ?
4. Adakah anda berterusan belajar dan meneliti soalan-soalan lepas ?
5. Adakah anda mempunyai keyakinan diri untuk menjawab soalan nanti ?
 
 
UJIAN BULANAN DAN PEPERIKSAAN PENGGAL
Ramai pelajar bersikap acuh tak acuh di dalam menghadapi ujian bulanan dan peperiksaan penggal dan ada yang menganggapnya tidak penting. Pada hal ujian dan peperiksaan ini boleh mempengaruhi keputusan peperiksaan  nanti. Akibatnya ramai pelajar yang gagal dan mendapat markah yang rendah di dalam setiap ujian /peperiksaan. Sikap seperti ini hendaklah dikikiskan. Walaupun demikian, seandainya anda gagal di dalam ujian, jadikanlah ia suatu pengajaran untuk lebih memahami dan bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran. Kegagalan di dalam ujian mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti :-
a) Kurang memahami apa yang diajar
b) Tidak mengambil perhatian yang serius terhadap pelajaran.
c) Tidak mengulangkaji pelajaran selepas waktu persekolahan.
 
 
KEARAH MEMBENTUK KEYAKINAN
Keyakinan menghadapi peperiksaan hanya boleh diperolehi oleh pelajar yang sudah betul-betul membuat persiapan yang rapi. Antara persiapan yang perlu diberi perhatian ialah :-
a) Habis mengulangkaji topik-topik yang disoal.
b) Mengingati dengan baik nota-nota yang penting.
c) Mengetahui bentuk-bentuk soalan yang akan disoal.
d) Bertawakkal kepada Allah S.W.T.
 
BEBERAPA PERINGATAN KEPADA PELAJAR
  • Tidak keterlaluan membaca sehingga kurang tidur.
  • Belajar dengan hati yang tenang dan lapang. Pastikan semua kerja atau masalah diselesaikan terlebih dahulu sebelum anda memulakan pembelajaran/study.
  • Disiplinkan diri anda. Pastikan anda tidak membuang masa dengan kerja-kerja yang sia-sia. Tepatilah masa belajar yang anda telah tetapkan dan pastikan anda ada masa untuk merehatkan otak secukupnya. Elakkan daripada memaksa diri anda untuk belajar sekiranya anda letih dan mengantuk.
  • Elakkan diri anda daripada membaca dan menghafal matematik. Sebaliknya cubalah memperbanyakkan latihan mengira dan memahami formula dan konsepnya.
  • Berbincang dengan rakan yang lebih memahami dan elakkan daripada sifat malu bertanya.
  • Elakkan daripada sifat menangguhkan sesuatu kerja yang diberi oleh guru serta jauhkan sikap mengambil jalan mudah dengan meniru kerja kawan tanpa memahami akan maksud dan konsepnya.
  • Elakkan mengumpulkan nota yang diberikan oleh guru sehingga bertimbun barulah hendak mengulangkajinya.
Sesungguhnya seseorang pelajar akan mencapai tahap penguasaan yang maksimun jika dia mampu mengaplikasikan teknik dan kaedah belajar yang betul. Setiap pelajar mempunyai cara belajar yang berbeza, janganlah meniru gaya belajar orang lain yang  tidak sesuai dengan kita. Nota ini sebagai panduan sahaja, ubahlah ia agar sesuai dengan teknik dan cara anda sendiri. InsyaAllah kejayaan itu milik semua.

1 comments:

Abraham Mateo Fan Club on August 8, 2011 at 9:28 AM said...

tq atas dorongan cikgu:-

Post a Comment

Guru & Ibubapa: Siapakah Pendidik Sebenarnya?

 
Tatapan Minda Copyright © 2011