-------------------------------------------------------------------




Tuesday, November 8, 2011

Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran: Sejauh Mana Kita Memahaminya?

Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendefinisikan murid yang mengalami Masalah Pembelajaran sebagai murid yang mempunyai masalah kognitif yang dianggap boleh diajar dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal. Terdapat pelbagai kategori murid bermasalah pembelajaran seperti Sindrom Down, Autisme, Hiperaktif, terencat akal minima, kurang upaya dalam pembelajaran (learning disabilities) dan kurang upaya dalam pembelajaran khusus contoh disleksia.

Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran ini berada di sekeliling kita dan jumlahnya semakin bertambah dengan meningkatnya tahun ke tahun. Terdapat banyak faktor peningkatan kelahiran kanak-kanak ini seperti faktor usia ibu, masalah kesukaran semasa kelahiran, pemakanan, pencemaran alam sekitar mahupun baka. Kanak-kanak ini mungkin jiran kita, sanak-saudara, murid-murid mahupun anak sendiri. Persoalannya sejauhmanakah kita mengenali kelompok ini dan bagaimanakah kita dapat membantu mereka menjalani kehidupan harian sebagaimana kanak-kanak normal yang lain?

Artikel ini akan menyentuh kategori murid bermasalah pembelajaran untuk mengenali mereka seterusnya memahami nature mereka supaya kita menjadi sebahagian masyarakat yang prihatin dan penyayang selaras dengan visi Wawasan 2020.


Sindrom Down
Merupakan kecelaruan genetik yang menyebabkan kerencatan akal pada kanak-kanak. Ia berpunca dari lebihan kromosom pada pasangan kromosom ke 21 yang juga dikenali sebagai Trisomo 21. Individu ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang jelas yang biasa dilihat seperti mata sepet, hidung penyek, bertubuh rendah, lidah yang tebal dan panjang (menyebabkan kesukaran mereka bertutur) dan jari tangan yan pendek (menyebabkan kesukaran memegang pensel dan gunting). Ujian pra natal bertujuan mengesan kecacatan semasa janin yang biasa dijalankan adalah amniocentesis, Chorionic Villus Biopsy (CVB) dan Chorionic Villus Sampling (CVS).


Autisme
Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bermakna diri sendiri dan isme bermaksud aliran. Kanak-kanak Autisme bermaksud kanak-kanak yang berada di dalam dunianya sendiri. Ia biasanya mula dikesan pada kanak-kanak yang berusia 3 tahun disebabkan oleh kecelaruan neurologikal yang mengganggu fungsi otak. Individu ini biasanya sukar diajak bercakap dan suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu, mengeluarkan bahasa sendiri yang sukar difahami oleh orang lain dan meniru perbualan ataupun nyanyian tanpa memahami maksudnya. Mereka suka mengulangi percakapan orang lain secara berulang-ulang yang dikenali dengan istilah ekolalia. Kebiasaannya mereka tidak suka bermain dengan orang lain (lebih suka menyendiri dengan menyorok) dan lebih sukakan objek-objek yang berputar seperti kipas angin ataupun kertas yang ditiup angin. Penggunaan Ritalin bertujuan untuk merawat masalah kurang tupuan dan hiperaktif selain vitamin B6 dan Magnesium untuk meningkatkan kesedaran dan tumpuan/perhatian kanak-kanak.


Hiperaktif (Attention Deficit-Hyperactivity Disorder, ADHD)
Istilah hiperaktif merujuk kepada kanak-kanak yang bertingkahlaku terlampau aktif dan mengganggu. Tingkahlaku mereka yang aktif dan sukar diramal memberi gangguan kepada proses pengajaran guru di sekolah mahupun penjagaan harian di rumah. Paling ketara mereka bersikap agresif (contohnya memulakan pergaduhan dan pertengkaran), cuai menyiapkan tugasan, tidak mahu mendengar apabila kita bercakap dengannya selain mengelak membuat tugasan yang memerlukan pengekalan daya mental. Kanak-kanak ADHD memerlukan sokongan dari ibubapa dan guru dalam belajar mengurus perasaan marah dan tekanan. Ganjaran terlebih dahulu sebelum memberi hukuman. Selain itu sikap tegas terhadap murid, memberi maklumbalas impromptu dan bersifat pemaaf boleh membantu mendidik murid ADHD.


Disleksia
Disleksia diterangkan sebagai keadaan di mana seorang murid mengalami masalah membaca yang serius, yang berkait-rapat dengan gangguan urat saraf. Mereka kelihatan normal tetapi kecelaruan pada bahagian otaknya menyebabkan mereka sukar untuk membaca, menulis, mengeja mahupun mengendalikan nombor yang tidak selaras dengan tahap pencapaiannya walaupun telah diajar berkali-kali. Kanak-kanak ini berisiko menghadapi masalah emosi dan tingkahlaku kerana kecewa dengan pencapaian mereka dalam akademik yang tidak selaras dengan umur mereka. Punca disleksia tidak diketahui tetapi faktor genetik, biologi (kesukaran ketika dilahirkan) juga kematangan (lelaki lambat matang dari perempuan) dikatakan menjadi faktor penyumbang kepada disleksia. Antara kaedah pengajaran dan pembelajaran yang disarankan untuk kanak-kanak disleksia adalah melalui pendekatan multisensori; menggabungkan beberapa deria seperti auditori, visual, oral dan kinestetik.

Prosedur Kemasukan ke Program Pendidikan Khas
Program pendidikan khas bermasalah pembelajaran atau program integrasi terletak di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk melayakkan seseorang kanak-kanak mengikuti program ini, beberapa criteria harus diikuti seperti :

· Membawa kanak-kanak ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor akan membuat diagnos dan membuat pengesahan kecacatan kanak-kanak tersebut.
· Pengesahan tersebut dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (opsyenal) untuk didaftarkan sebagai individu berkeperluan khas. Ini melayakkan kanak-kanak mendapat elaun bantuan RM50 sebulan.
· Kanak-kanak seterusnya mendaftar ke Pejabat Pendidikan Daerah. Unit Pendidikan Khas di Jabatan Pendidikan akan memanggil ibubapa bagi menentukan sekolah yang ingin dipilih.
· Unit Pendidikan Khas akan memaklumkan kepada Guru Besar sekolah berkenaan. Temuduga murid dijalankan.
· Ibubapa harus membuat pengesahan penerimaan atau persetujuan untuk anak mereka mendaftar di sekolah tersebut jika diterima masuk ke sekolah berkenaan.


sumber dari sini

0 comments:

Post a Comment

Guru & Ibubapa: Siapakah Pendidik Sebenarnya?

 
Tatapan Minda Copyright © 2011